Assalamualaikum para sahabat.
P A N T U N
Pantun? Ya, pantun. Aku ni memang peminat pantun. Oleh kerana terlalu minat akan pantun, aku sanggup bersengkang mata untuk berbalas pantun melalui laman muka buku. Laman kegemaran untuk mengubat ketagihan berpantun ini ialah :
https://www.facebook.com/groups/khazanah/
https://www.facebook.com/groups/khazanah/
Alhamdulillah, rakan-rakan di laman Khazanah ini kebanyakannya merupakan peminat-peminat pantun. Aku seronok dapat berbalas pantun dengan mereka. Walaupun aku tidak pernah bersua muka dengan mereka, namun kemesraan terpancar melalui pantun-pantun yang dibaca. Semoga persahabatan akan terjalin erat menerusi wadah seni budaya bangsa iaitu Pantun.
Berikut antara pantun yang kukirim melalui laman tersebut:
Buah peria di atas peti,
Daun selasih di bawah titi;
Ikhlas setia pengikat hati,
Moga berkasih hingga ke mati.
Ke Pulau Tengah mencari kerang,
Ikat kain berhati-hati;
Kalau bunga disambar orang,
Bunga lain jadi pengganti.
Kunang-kunang di dahan pauh,
Gantung pukat di pohon meranti;
Jangan dikenang orang yang jauh,
Orang dekat jadi pengganti.
Berakit ke kuala sambil bertinggung,
Hendak beradu berbantal kekabu;
Sakit kepala boleh ditanggung,
Sakit rindu menikam kalbu.
Air mawar jangan disisih,
Bawa ragi berkati-kati;
Jangan tawar untuk berkasih,
Kelak rugi sampai ke mati.
Kain batik di dalam peti,
Buah kepayang di hujung titi;
Kekasihku cantik menawan hati,
Tapi sayang kurang pekerti.
Kalau kundur kundurlah jua,
Jangan disebut buah kuini;
Hendak tidur tidurlah dinda,
Jangan dikenang kanda di sini.
Ikan buntal tidak menyengat,
Ikan belida dibela rapi;
Tepuk bantal seru semangat,
Semangat dinda bawa ke mimpi.
Ikan gelama ikan kerapu,
Akar kiambang terpaut buluh;
Apa guna isyarat lampu,
Bulan mengambangkan terang menyuluh.
Ke Pulau Lingga mencari singa,
Ampai-ampai dikejar pari;
Bukan bunga sebarang bunga,
Bunga rampai bunga misteri.
Hati-hati memasang pasak,
Pasang pasak menongkat langit;
Hati-hati jika memasak,
Terlebih masak nasinya hangit.
Tinggi lampai anak Pak Kasim,
Ke kedai Linggam membeli paku,
Singgah sarapan di warung nyonya,
Ingin menari di pohon sena;
Bunga rampai harum semusim,
Penat digenggam simpan di saku,
Lepas disimpan hilang baunya,
Kemudian hari tiada berguna.
Peti diletak di dalam gerai,
Tinggal Pak Mail yang belum pulang;
Hati retak pecah berderai,
Ikan kukail disambar helang.
Kelulut bersarang di tepi benteng,
Benteng tumbuh sepohon kari;
Takut sang burung akan ranting,
Lebih-lebih lagi ranting berduri.
Buah kelapa tiga serangkai,
gelas berkaca dibawa berenang;
Ilmu apa cik adik pakai,
Surat belum dibaca air mata sudah bergenang?
Banyak kumbang terbang di laman,
Ingin rasanya ditangkap nanti,
Untuk diletak di dalam peti;
Banyak bunga kembang di taman,
Namun tiada berkenan di hati,
Untuk dijadikan sebagai pengganti.
Buah pinang gugur melata,
Angkara kelawar asyik menganga;
Memang senang jika berkata,
Adakah sama harum mawar dan kenanga?
Dayung sampan sambil berangan,
Beli durian berkati-kati;
Biarku simpan jadi kenangan,
Hari kemudian berhati-hati.
Dahan meranti dahan kari,
Pisang berangan di atas peti;
Bukanlah mati hendak dicari,
Tetapi kenangan sentiasa menusuk hati.
Umpun-umpun dicari cik nyonya,
Cari di bawah pohon sena;
Hilang di mata pun tiada salahnya,
Kerana diri sudah tiada berguna.
Duduk berkhemah bersantai-santai,
Selepas bersantai pergi memukat;
Pada mulanya bukan berumah di tepi pantai,
Namun pantai semakin mendekat.
Sudah puas ku tanam lada,
Namun lalang tumbuh melata;
Sudah puas ku menepuk dada,
Namun selera tak kunjung tiba.
Pisang kapas pisang berangan,
Malam-malam hendak dibawa;
Memang menyampah melayan kenangan,
Kenangan silam penghancur jiwa.
Badan kental kuat bangat,
Angkat dulang hendak menampi;
Tepuk bantal seru semangat,
Semangat datang dalam mimpi.
Sudah lama tanam selasih,
Namun tumbuh pohon kuini;
Sudah puas hamba berkasih,
Sebab berkasih kujadi begini.
Hendak gugur gugurlah nangka,
Jangan menimpa ranting pauh;
Hendak tidur tidurlah mata,
Jangan dikenang orang menjauh.
Ikan sepat di celah bata,
Pisau tajam pisau yang lama;
Tiada dapat ku pejamkan mata,
Tatkala pejam bayangannya menjelma.
Harum sungguh bunga melati,
Kembang setangkai waktu pagi;
Hancur sungguh rasa di hati,
Sedang berkasih ditinggal pergi.
Orang Acheh sedang sembahyang,
Beli tapai di tengah hari;
Pergilah kasih pergilah sayang,
Pandai-pandai menjaga diri.
Anak ikan berenang melata,
Disambar toman di malam terang;
Manakan tidak berduka cita,
Kembang di taman dipetik orang.
Sarang merbah di celah dahan,
Tempat punai bermain di situ,
Berkejar-kejar si anak rusa,
Tampak dari tanah seberang;
Bersyukur hamba kepada Tuhan,
Kalau dah nasib memang begitu,
Akan merana sepanjang masa,
Hanya berharap kasihnya orang.
Tepi perigi mengasah parang,
Buah pedada buah mengkudu,
Anak dara makan serunding,
Bungkus tapai berkain sari;
Hamba pergi dagang seorang,
Tiada saudara tempat mengadu,
Tiada sesiapa tempat berunding,
Pandai-pandai membawa diri.
Angkut-angkut terbang ke sana,
Buah keranji disalut tepung;
Jangan terikut si ayam betina,
Bertelur sebiji riuh sekampung.
Tuk kadi mengail pari,
Pari dicari bertemu kain;
Biarlah jadi seperti kasturi,
Diri wangi harumkan yang lain.
Bawa renda naik sampan,
Renda dibawa ke Pekan Sari;
Canda senda warna kehidupan,
Tanpa ia hilanglah seri.
Hendak menjala ikan haruan,
Ikan haruan di celah batu;
Mengapa dikata lain haluan,
Bukankah haluan kita menuju yang satu.
Bunga saya bunga melati,
Bunga-bungaan harum baunya;
Kasih saya sepenuh hati,
Kasih tuan ke mana hinggapnya?
Rumput kutebas habis rata,
Burung tempua mematuk betik;
Beribu melintas di depan mata,
Hanyalah dinda yang paling cantik.
Sapi ditambat di Pulau Tawar,
Anak cina pakai sepatu;
Hatiku tertambat jiwamu tawar,
Bagaimana mahu menyatu?
Di celah batu bunga terselit,
Lembut debu bunga seroja;
Kasih puan kasih di kulit,
Tanam tebu di bibir saja.
Rumah di kota amatlah bersih,
Tempat bermain si orang kaya;
Berpantang mata berasa kasih,
Jumpa yang lain lupakan saya.
Tandu bukan sebarang tandu,
Tandu dijulang buatan tangan;
Madu bukan sebarang madu,
Madu tualang punya penangan.
Ke Gunung Tahan memetik kari,
Jumpa cik nyonya berseri-seri;
Walau bertahan tujuh hari,
Namun manisnya tidak terperi.
Pergi berburu sampai sempadan,
Dapat kelinci badan berjalur;
Biar carik baju di badan,
Asalkan hati bersih dan jujur.
Orang Dusun bersimpuh santun,
Petik buahan dibuat sahur;
Kata tersusun di dalam pantun,
Pamer keindahan warisan leluhur.
Anak itik belajar terbang,
Ambilkan dedak berilah makan;
Janganlah adik merasa bimbang,
Segala kehendak abang tunaikan.
Walau banyak bunga di taman,
Bunga mawar masih dikenang;
Walau banyak kupunya teman,
Dalam hatiku dinda seorang.
Hujan lebat baju pun basah,
Duduk sendiri tidak mengapa;
Sudah lama rasanya berpisah,
Baru kini kembali berjumpa.
Rasa bahagia terbang rerama,
Bunga melati si pohon sena;
Sunyi rasa tak dapat bersama,
Kekasih hati jauh di sana.
Dalam jantung ada debaran,
Ingin bertanya tetapi malu;
Daku menunggu penuh harapan,
Sudikah dinda menerimaku?
Buah pedada di tepi perigi,
Ambil timba kubawa lari;
Jangan kanda janganlah pergi,
Biarlah dinda yang membawa diri.
Anak siamang bergelak tawa,
Suaranya garau di tepi sawah;
Kita memang sehati sejiwa,
Senda gurau menjalin ukhwah.
Ketawa ria si anak dara,
Duduknya santun tersusun kata;
Indonesia Malaysia Brunei dan Singapura,
Dengan pantun menyatukan kita.
Umpun-umpun di tepi gerai,
Ambillah saja buat si dia;
Kita serumpun umpama serai,
Jika dibaja suburlah ia.
Cari batu di Pulau Angsa,
Terbang lalat di atas bata;
Pantun itu khazanah bangsa,
Lambang daulat bahasa kita.
Anak cina menjual berangan,
Hari terang mengail gelama;
Wahai dinda ke mana gerangan?
Baru sekarang datang menjelma.
Muka yang bujur jadi lamunan,
Hati derita kasih terlarang;
Kasih yang jujur hanya lakonan,
Belakang kita berlaku curang.
Makan pedada di tepi loyang,
Kelat lidah sudahlah kurang;
Telah ada pengganti tersayang,
Namun sudah disunting orang.
Buah sukun jatuh tercampak,
Jatuh menimpa bunga selasih;
Biar bertahun dilambung ombak,
Tidak ku lupa pada yang kasih.
Limau purut lebat di pangkal,
Batang mengkudu condong uratnya;
Hujan ribut dapat ditangkal,
Hati yang rindu apa ubatnya?
Indah sungguh bunga selasih,
Dipetik dara di dalam taman;
Sakit sungguh bercerai kasih,
Wajahmu puan jadi kenangan.
Harum sungguh bunga melati
Kembang setangkai di waktu pagi;
Sedih sungguh rasa di hati,
Sedang berkasih ditinggal pergi.
Di waktu petang hujan berderai,
Ombak memecah di batu karang;
Air mataku jatuh berderai,
Mengenang nasib dirundung malang.
Menggali tanah di Pulau Indah,
Muda perkasa mari dikerah;
Kalau khazanah dilupa sudah,
Budaya bangsa hilang sejarah.
Lintah bulan naik ke junjung,
Bunga raya dipetik kokang;
Memang berbulan tidak berkunjung;
Kerna kerjaya agak mengekang.
Waktu petang memilih antah,
Isi dibekas kepunyaan ayah,
Bekas dibuat daripada gangsa;
Lidi sebatang mudah dipatah,
Jika seberkas menjadi payah,
Itulah ibarat perpaduan bangsa.
Di Tanah Rencong beli berangan,
Buah kundur di dalam laci;
Jika La Gecong sudah di tangan,
Takkan mundur walau seinci.
Rasa janggal lidah pun kelu,
Sampai seru si dara sunti;
Biar ditinggal kenangan lalu,
Kenangan baru menyusul nanti.
Jalan terburu mencari cuka,
Hutan rimba mahu diredah;
Buku baru sudah dibuka,
Biarlah cerita nan indah-indah.
Lenggang cik nyonya bawa pancang,
Letak raga di atas batu;
Kita hanya mampu merancang,
Allah jua Yang Maha Penentu.
Biar punah gigi dan gusi,
Pantangnya kami bermundur lari,
Gendang perang tingkah meningkah,
Hati cekal takkan mengalah;
Asal tanah menjadi besi,
Besi khursani di dalam diri,
Semangat Alif kita melangkah,
Yakin tawakkal kerana ALLAH.
Pohonnya pauh lebat berdaun,
Pohon meranti tumbuh merimbun;
Kandamu merantau bertahun-tahun,
Pulangnya nanti emas setimbun.
:: SeLaMaT BeRpAnTuN ::
Tiada ulasan:
Catat Ulasan