Ketika aku menjejakkan kaki di pintu pagar sekolah tersebut, bermacam-macam perkara yang aku fikirkan. Bagaimanalah agaknya mengajar di sekolah jenis kebangsaan Tamil (sjkt)? Boleh atau tidak aku bertugas di sekolah ini? Aku memang tiada pengalaman mengajar di sekolah seperti ini.
Aduhai, bermacam perkara yang bermain di benakku!
Tension.
Gugup.
Berdebar.
Risau.
Khuatir.
Bimbang.
Macam-macam ada.
Aku terus masuk ke pejabat sekolah untuk menulis nama dalam Buku Rekod Kehadiran Guru.
Kriiiiiinnnnggggggg.....................
Loceng pun berbunyi menandakan perhimpunan akan diadakan sebentar lagi.
Aku lihat murid berduyun-duyun menuju ke tapak perhimpunan. Suasana ketika itu agak riuh kerana murid-murid sangat teruja bertemu semula dengan rakan-rakan mereka.
Kelihatan juga ibu dan bapa meninjau anak mereka dari luar pagar sekolah. Hati kecilku berkata, mungkin anak mereka dalam Tahun 1.
Aku memerhati gelagat seorang pengawal keselamatan yang berbadan agak gempal dan bermisai lebat berdiri di pintu pagar sekolah sambil berbual dengan para ibu bapa. Macam Sarjan Misai dalam cerita Gerak Khas.
Semasa aku berjalan ke tapak perhimpunan, dia mengucapkan selamat pagi kepadaku sambil tangannya mengurut misai menggunakan ibu jari dan jari telunjuk tangan kanannya. Dengan penuh hormat aku membalas ucapannya sambil melemparkan senyuman yang kelat.
Bukannya apa, aku agak gementar melihat misai dan renungannya yang tajam. Cepat-cepat aku berlalu menuju ke tapak perhimpunan.
Di situ, aku lihat murid-murid sudah sedia berbaris mengikut kelas kecuali murid-murid Tahun 1 yang masih tercari-cari barisan kelas mereka. Guru-guru kelas Tahun 1 memanggil nama murid mereka lalu dibimbing untuk berbaris mengikut kelas.
Setelah keadaan sudah sedia dan terkawal, perhimpunan pun dimulakan.
Mataku terbang melihat satu persatu wajah-wajah yang sedang berbaris di hadapanku. Ku buka mataku luas-luas kemudian ku kecilkan.
Alamakkk....
Sekali lagi aku ulangi perbuatanku membesar dan mengecilkan mata sambil memerhatikan wajah-wajah bakal anak muridku.
Memang sah.
Aku lihat anak-anak comel di hadapanku ini seakan sama sahaja wajahnya.
Hakikatnya, aku tidak dapat mengecam wajah mereka.
Wajah semua murid aku lihat hampir sama semuanya.
Aku hanya dapat membezakan jantina mereka sahaja. Itupun hanya melalui pakaian yang mereka pakai.
Ini sudah kes berat. Aku terfikir bagaimana nanti aku mahu memanggil nama mereka jika aku tidak dapat membezakan wajah mereka.
Alhamdulillah, setelah seminggu berlalu, aku sudah dapat mengecam dan memanggil nama beberapa orang murid dengan tepat.
Nama-nama seperti Gayathri, Yanusha, Sarinisa, Vemela, Logeswari, Bawathareni, Thiruchandran, Logeswaran dapat ku hafal dalam seminggu.
Buat anak-anakku bekas murid SJKTJT, papa rindu akan kalian. Teruskan perjuangan dalam menggali ilmu sebanyak mungkin di bumi Malaysia yang bertuah ini.
Moral of the story :
Tiada yang mustahil jika keikhlasan mengalir di dalam pembuluh darah ini.