:: KaLiAn ::

Ahad, 29 April 2012

:: Serakah Rakus Meratah ::

Dalam benakku muncul beberapa persoalan yang kadang-kala mengasak kotak fikir ini. 

Sebuah keamanan yang telah berpuluh tahun dipupuk, dibaja dan dibelai dengan penuh kasih sayang kini semakin terhakis

Tembok tebal keamanan itu kini sudah mulai runtuh berkeping-keping.

Tidak mustahil suatu hari nanti, tiada lagi nikmat keamanan yang mahu dikecapi.

Selalunya nikmat yang terpampang di hadapan mata tidak akan dipedulikan kerana hawa nafsu yang membuak-buak.

Serakah kini sudah mula rakus meratah keamanan.

Apakah dengan melakukan demonstrasi yang kemudiannya memprovokasi akan menyelesaikan masalah?

Ingatlah, golongan majoriti tidak pernah merestui tindakan-tindakan tersebut. 

Golongan yang mempunyai kewarasan fikiran akan menterjemah suara mereka melalui peti undi.


Tunggulah.  

Andai kata PRU13 akan diadakan sehari dua, atau sebulan dua ini, mereka akan bersuara.

Bersuara untuk mempertahan nikmat keamanan yang masih berbaki.


Ingatlah, jika nikmat itu hilang, maka barulah ia akan diraba, dicari dan diselongkar, namun yang pasti ia tidak akan kembali secara mudah dan percuma.

Ketika itulah berjuta penyesalan akan menerjah hati yang kaku dan beku yang selama ini hanya menjadi tugu hitam di dalam diri.


Serakah...
Kini rakus meratah...
Manusia terus pecah-belah...
Nikmat keamanan kian goyah...
Tanah pusaka warisan menangis hiba...
Anak cucu akan merempat di atas tanah bersejarah.


::  Serakah Rakus Meratah  ::


Catatan berbentuk sajak, sila baca perkataan yang berwarna kuning sahaja.

Sabtu, 28 April 2012

:: Aktiviti BERSIH 3.00 PM ::

Inilah aktiviti yang paling aku gemari. 


Aktiviti BERSIH ini melibatkan seluruh ahli keluargaku tepat pada pukul 3.00 petang.


Dengan kuasa diktator yang ada padaku, aku telah memaksa seluruh ahli keluargaku menyertai aktiviti ini. 


Walaupun anak-anakku masam mencuka, namun mereka akur dengan arahanku. 


Arahan yang penuh kasih sayang diselangi kata-kata yang boleh menaikkan semangat mereka demi keluarga, rumah tangga dan terutama sekali demi negara yang tercinta. 


Bukannya apa, aku mahu mereka membesar seiring dengan kekuatan jiwa, kekentalan semangat agar mereka tidak mudah diperkotak-katikkan. 


Biarlah mereka berfikiran rasional, bahawa jiwa yang kuat dan kesihatan yang baik akan mewujudkan keluarga yang harmoni. 


Seterusnya, keluarga yang harmoni akan mewujudkan masyarakat sejahtera yang akhirnya akan melahirkan negara yang aman makmur.


Negara yang makmur wujud jika rakyatnya mematuhi undang-undang. Kerajaan terbina dengan kuasa majoriti rakyat yang mengundi sesebuah parti. 


Jadi, akurlah dengan suara majoriti rakyat.


Alamak.... Aku dah mula melalut.


Usah banyak berpolitik, mari lihat aktiviti BERSIH yang baru dijalankan sebentar tadi.








Daripada duduk bersila di tengah jalan, lebih-lebik baik BERSIHkan rumah. 
Ada gak faedahnya.

::  Rumah Bersih Keluarga Sihat  ::

:: Apaa?? Kelingking Berkait?? ::

Cerita yang akan menyusul ini masih lagi berkisar di sjkt.


Ketika aku sedang duduk di hadapan kelas sambil menanda buku latihan murid, aku didatangi oleh seorang murid. 


Murid itu menunjukkan jari kelingkingnya kepadaku, seperti ini.




Dia melakukan perbuatan itu dengan wajah berkerut yang seakan-akan meminta simpati dariku.


Tanpa membuang masa aku menghulurkan jari kelingkingku,



lalu ku kaitkan dengan jari kelingkingnya seperti gambar di bawah.




Wajahnya semakin berkerut. Tangan kirinya berada tepat pada zip seluarnya sambil meramas sesuatu.


Seorang murid yang duduk berhampiran dengan meja guru, memberitahu:

"Cikgu, dia mahu kincing.."



Aku tersentak, lalu melepaskan jari kelingkingku dari jari kelingkingnya.


Cepat-cepat aku meminta muridku itu pergi ke tandas.


Laaaaa...... baru aku tahu bahawa, isyarat jari kelingking itu tandanya buang air kecil @ kencing.


Aku rasa isyarat jari kelingking ini, hanya diketahui di sjkt sahaja. Agaknyalah......

Moral of the story:

Jangan suka-suka tunjuk isyarat jari, nanti tak pasal-pasal kena kencing.


Hua hua hua.

Mari kita tengok siapa yang kena!!

:: VaNaKaM SaR ::

Hari ini aku ingin berkongsi satu cerita yang akan ku ingat sampai bila-bila.

Cerita ini masih lagi berkisar di tempat bertugasku iaitu di sekolah jenis kebangsaan Tamil di daerah Kota Tinggi. 


Di sini banyak peristiwa yang menjadi kenangan manis buatku. Cerita lucu dan cerita gembira.

Ceritanya begini:


Pada hari pertama aku memulakan tugas, selepas perhimpunan pagi aku berjalan mencari kelas Tahun 2 Vivegam. Di tanganku terdapat jadual waktu pengajaran yang aku rujuk sebelum masuk ke dalam kelas. 

Setelah aku dapat mencari kelas tersebut, aku pun masuk ke dalam kelas dengan senyuman yang paling menawan. : )

"Vanakam Sar" 


Ucap murid-murid Tahun 2 Vivegam serentak.

Aku terlopong tanpa kata mendengar ungkapan yang pertama kali ku dengar. Aku tidak tahu bagaimana mahu membalas ucapan tersebut.

Tak apa..


Aku balas dengan ucapan :


"Selamat Sejahtera murid-murid"


Murid-muridku memandang aku dengan perasaan keliru.

Kemudian aku mendengar seorang murid berkata kepada rakan-rakannya:


"Ini Cikgu Melayulah..."

Sepantas kilat aku lihat, beberapa orang murid menepuk dahi sambil berkata:


"Ayyooo... Malay cikgu"

Beberapa murid lain meletakkan ke sepuluh jari di hadapan bibir mereka sambil menaikkan bahu masing-masing dengan wajah yang tersipu-sipu malu.


Mungkin juga mereka bimbang aku memarahi mereka.

Kemudian, dengan serentak mereka membalas ucapan  ku :


"Selamat Sejahtera, cikgu.."

Aku mengukir senyuman buat mereka, namun aku juga lebih keliru daripada mereka. 


Sesungguhnya, ungkapan itu akan sentiasa tertanam dalam lubuk jiwaku. 

Ungkapan itu juga telah menguatkan semangatku dan aku berjanji kepada diriku bahawa aku akan meletakkan diriku menjadi sebahagian daripada hidup mereka.

:: VANAKAM SAR ::


Jumaat, 27 April 2012

:: aLaMaK !!!! WaJaH MeReKa SaMa? ::

Teringat hari pertama aku bertugas di sebuah sekolah Tamil di daerah Kota Tinggi. 


Ketika aku menjejakkan kaki di pintu pagar sekolah tersebut, bermacam-macam perkara yang aku fikirkan. Bagaimanalah agaknya mengajar di sekolah jenis kebangsaan Tamil (sjkt)? Boleh atau tidak aku bertugas di sekolah ini? Aku memang tiada pengalaman mengajar di sekolah seperti ini. 


Aduhai, bermacam perkara yang bermain di benakku!


Tension. 

Gugup. 

Berdebar. 

Risau. 

Khuatir. 

Bimbang. 

Macam-macam ada.


Aku terus masuk ke pejabat sekolah untuk menulis nama dalam Buku Rekod Kehadiran Guru.


Kriiiiiinnnnggggggg.....................


Loceng pun berbunyi menandakan perhimpunan akan diadakan sebentar lagi. 


Aku lihat murid berduyun-duyun menuju ke tapak perhimpunan. Suasana ketika itu agak riuh kerana murid-murid sangat teruja bertemu semula dengan rakan-rakan mereka. 


Kelihatan juga ibu dan bapa meninjau anak mereka dari luar pagar sekolah. Hati kecilku berkata, mungkin anak mereka dalam Tahun 1. 


Aku memerhati gelagat seorang  pengawal keselamatan yang berbadan agak gempal dan bermisai lebat berdiri di pintu pagar sekolah sambil berbual dengan para ibu bapa. Macam Sarjan Misai dalam cerita Gerak Khas. 


Semasa aku berjalan ke tapak perhimpunan, dia mengucapkan selamat pagi kepadaku sambil tangannya mengurut misai menggunakan ibu jari dan jari telunjuk tangan kanannya. Dengan penuh hormat aku membalas ucapannya sambil melemparkan senyuman yang kelat. 


Bukannya apa, aku agak gementar melihat misai dan renungannya yang tajam. Cepat-cepat aku berlalu menuju ke tapak perhimpunan. 


Di situ, aku lihat murid-murid sudah sedia berbaris mengikut kelas kecuali murid-murid Tahun 1 yang masih tercari-cari barisan kelas mereka. Guru-guru kelas Tahun 1 memanggil nama murid mereka lalu dibimbing untuk berbaris mengikut kelas.


Setelah keadaan sudah sedia dan terkawal, perhimpunan pun dimulakan. 


Mataku terbang melihat satu persatu wajah-wajah yang sedang berbaris di hadapanku. Ku buka mataku luas-luas kemudian ku kecilkan.


Alamakkk.... 


Sekali lagi aku ulangi perbuatanku membesar dan mengecilkan mata sambil memerhatikan wajah-wajah bakal anak muridku.


Memang sah.


Aku lihat anak-anak comel di hadapanku ini seakan sama sahaja wajahnya.


Hakikatnya, aku tidak dapat mengecam wajah mereka. 


Wajah semua murid aku lihat hampir sama semuanya. 


Aku hanya dapat membezakan jantina mereka sahaja. Itupun hanya melalui pakaian yang mereka pakai.


Ini sudah kes berat. Aku terfikir bagaimana nanti aku mahu memanggil nama mereka jika aku tidak dapat membezakan wajah mereka. 


Alhamdulillah, setelah seminggu berlalu, aku sudah dapat mengecam dan memanggil nama beberapa orang murid dengan tepat.


Nama-nama seperti Gayathri, Yanusha, Sarinisa, Vemela, Logeswari, Bawathareni, Thiruchandran, Logeswaran dapat ku hafal  dalam seminggu.


Buat anak-anakku bekas murid SJKTJT, papa rindu akan kalian. Teruskan perjuangan dalam menggali ilmu sebanyak mungkin di bumi Malaysia yang bertuah ini.


Moral of the story :
Tiada yang mustahil jika keikhlasan mengalir di dalam pembuluh darah ini.

Khamis, 26 April 2012

:: CeRiTa BrA ::

Hari ini nak cerita yang seksi-meksi sikit..... Jangan terkejut pulak apabila kalian membaca tajuk catatan ini.


Bra ???
Sekadar gambar hiasan
Ya, bra..... 


Ceritanya begini :

"Assalamualaikum bro...." itulah ungkapan pertama yang keluar dari mulut ketika bersua dengan teman-teman ku. 


Kadang-kadang ketika berbual dengan teman melalui telefon pun ungkapan BRO tidak lepas dari mulut kami.


Pada suatu hari, selepas menjawab panggilan telefon daripada teman, salah seorang anakku datang menghampiriku. 


"Etta, kenapa etta selalu cakap 'bro'? Kalau jumpa kawan pun cakap 'bro', kat telefon pun cakap 'bro'......" tanya anakku.


"'Bro' tu apa etta?" anakku menyambung pertanyaannya.


Dengan konfidennya aku menjawab pertanyaan anakku.

"'Bro' tu brother. Panggilan pendeknya Bro..... Eja brother,  B R O T H E R = brother... Nak mudah, panggil bro..." jelasku lalu mengajarnya mengeja  ejaan tersebut.



"Brother tu abang atau adikkkan etta?" tanya anakku lagi.


"Ha'ah....." jawabku ringkas.


"Bro untuk lelakikan etta?" sambungnya lagi.


"Ya sayang, bro memang untuk lelaki," jawabku dengan penuh kasih sayang.


"Kalau perempuan panggil apa etta?" soalan cepumas terpacul dari mulut comel anakku.


"Panggil BRA," jawabku ringkas, tepat dan padat.


"Bra ????" anakku ingin kepastian.


"Ha'ah... Bra," tegasku, endah tak endah.


Pada hari esoknya, ibuku datang ke rumah untuk melawat cucunya. Sampai sahaja di muka pintu, anakku menyambut neneknya dengan ungkapan :


"Hai, BRA ..... Rindu dengan BRA...."


Ibuku terlopong mendengar sapaan cucunya sambil menjeling kelat dengan kening yang berkerut. Dalam hatiku, menjawab panjanglah nampaknya selepas ini.

Aku menerangkan keadaan sebenar kepada ibuku.




Moral of the story :
Jawablah pertanyaan anak dengan penuh keikhlasan. Nak bergurau pun patut-patutlah.....



:: CeRiTa iKAn BaKaR ::

Malam tadi aku sukar melelapkan mata. Aku baring sambil terkebil-kebil melihat siling rumah yang aku nampak berkotak-kotak yang sekejap kecil kemudian besar, kecil semula kemudian besar. 


Aku bingkas bangun dari perbaringan lalu turun dan terus menuju ke dapur untuk meneguk air jarang segelas dua. 


Ketika sedang minum, aku terpandang sangei yang di dalamnya terdapat separuh ikan bakar yang menjadi lauk petang tadi. Haaa... Kalian tahu tak apa tu sangei? Sangei ni loghat Melayu Perak yang bermaksud tudung saji.


Aku nak story sikit kepada kalian. Bukan pasal sangei tapi pasal ikan bakar. 


Sekadar gambar hiasan.
Suatu ketika dahulu, aku sekeluarga makan tengah hari yang berlauk ikan bakar, kicap berlada, tempe goreng sambal, telur dadar dan sayur cap cai.


Anak aku yang berumur 4 tahun tidak jemu-jemu bertanya tentang nama makanan yang terhidang di atas meja. Aku memang suka melayan segala pertanyaannya. 


"Etta, ini apa?" tanya anakku. 
(Etta adalah panggilan anak-anak buatku)

"Ini nasi, sayang" jawabku dengan lembut.

"Ini?" tanyanya lagi.

"Ini tempe goreng sambal," jawabku tanpa menghampakannya.



"Ini pulak?" soalnya lagi inginkan jawapan.

"Ini telur dadar, sayang," jawabku dengan sopan.

"Ini apa etta?" tanya anakku.

"Ini ikan bakar," jawabku.

Aku memintanya berdoa sebelum kami sekeluarga menikmati makanan. Kami pun menikmati juadah tengah hari. Aku mencubit isi ikan bakar untuk dimakan.



Tiba-tiba, anakku yang suka bertanya ini bersuara:

"Ayok tak tau, etta makan ikan bakar... Ayok tak tau, etta makan ikan bakar,"


"Ha mengapa? Tak boleh ke etta makan ikan bakar ini?" tanyaku dengan hairan.


Anakku menjawab "Mana boleh makan ikan bakar...."


Aku semakin hairan. "Mengapa tak boleh makan ikan bakar?" aku bertanya lagi.

"Kita tak boleh makan ikan Bakar. Nanti Bakar marah.... Kalau kita makan ikan dia, dia nak makan apa?" jawabnya dengan penuh keikhlasan.

Pecah ketawa kami sekeluarga dengan penjelasan anakku itu.



Untuk makluman, Bakar adalah anak jiran kami yang menjadi teman sepermainan anakku.

Rabu, 25 April 2012

:: BaBi PuNyA cERitA ::

Sekadar gambar hiasan.
Haaa.... jangan terkejut dengan tajuk catatan ku hari ini. Memang aku nak cerita pasal babi. Kebetulan semasa aku memandu untuk pergi bekerja aku ternampak sekawan babi melintas jalan. Mungkin babi-babi itu satu keluarga.    

Aku sangat terharu apabila melihat babi-babi itu menundukkan kepala ketika melintas jalan lebih kurang 50 meter di hadapan ku. Mungkin mereka sangat menghormatiku. Emmm.... 


Terkejut juga aku ketika itu. Nasib baik aku memandu hanya berkelajuan 60km sejam. Hehehe.... Papan tanda had laju 60km sejam takkan nak pandu 150km sejam. Tak sayang duit???? Saman RM300.000 tu... 

Selepas babi-babi itu melintas, aku teringat akan satu cerita dalam satu majalah lawak. 

Cerita babi.

Alkisah, ada seekor babi yang tidak berpuas hati akan manusia. Babi itu pun meluahkan perasaan kepada Encik Din. 

"Aku tak puas hati betul dengan manusia ni!!!" rungut sang babi.

"Mengapa engkau berkata begitu Encik Babi?" soal Encik Din.

"Apa tidaknya, binatang lain yang buat salah, aku juga yang dibabitkan!!" terang sang babi.

"Maksudmu?" tanya Encik Din.

"Yalah, ayam yang berak kat dapur, manusia akan kata, babi betul ayam ni. Kucing cakar tayar kereta, manusia akan kata, babi punya kucing. Manusia gaduh sesama sendiri, mereka akan kata, babi kau. Itu sebab aku marah..." luah sang babi.

"Kasihan kau Encik Babi....." Encik Din bersimpati.

"Tapi!" sambung Encik Din.

"Kau tau tak mengapa anak-anak engkau berjalan tunduk?" tanya Encik Din.

"Ha'ah lah Encik Din. Aku dah lama perasan mereka jalan tunduk..." kata sang babi.


"Aku tak tahu pulak sebabnya..... Ceciter .... mengapa anak-anakku jalan menunduk?" tanya sang babi.

"Mereka jalan menunduk sebab mereka malu emak bapak mereka babi!!!" terang Encik Din.

"BABI kau Encik Din!!!!!!" marah sang babi sambil berlalu dengan hati yang berbuku penuh kemarahan.


Moral of the story:

Jangan suka-suka membabikan orang, binatang atau apa sahaja sebab babi akan marah nanti.


Selasa, 24 April 2012

:: Warkah Haru ::

Seminggu dua ini kerjaku hanya duduk menghadap komputer riba. Biasalah, sekarang musim pengisian data ke dalam portal NKRA (LINUS) dan SAPS. Duduk berjam-jam, daripada pagi sehingga ke petang. Dengan keadaan talian internet yang boleh diibaratkan seperti kura-kura yang sakit kaki, menambahkan ketensionan dan kestresan. 

Terfikir juga keadaan rakan-rakan guru yang perlu melengkapkan data-data tersebut dalam jangka masa yang telah ditetapkan. Mana nak fikir mengajar, pengisian data dan sebagainya. Aduhai..... Kasihan sungguh.

Sampai sahaja di rumah selepas penat melalui ketensionan seharian, anakku menghulurkan satu lipatan kertas. Anakku meminta aku membaca muka hadapan lipatan kertas itu. 

"Warkah apa pula ni?" hati kecilku berbisik.


Di belakang lipatan kertas itu tertulis..........
Aku mula memulihkan daya ingatanku terhadap nama tersebut. Dengan serta-merta satu wajah comel lagi manis berhidung mancung dan bertocang kemas menerjah kotak ingatanku.


Aku mula bersemangat untuk membaca coretan seterusnya......

Hatiku mula dihimpit perasaan terharu yang melampau selepas membaca isi kandungannya....

Alhamdulillah, keputusan UPSR yang tercatat di atas boleh dikatakan baik......

Untuk makluman, aku pernah bertugas di sebuah sekolah Tamil di daerah Kota Tinggi. Anak muridku ini, kini di dalam tingkatan dua. Aku pernah menjadi gurunya semasa dia darjah 4 dan 5.

Buat Yamuna dan anak-anak murid SJKTJT, papa sayang dan rindu akan kalian. Buatlah yang terbaik untuk diri, keluarga dan negara ini.

::   TeRiMa KaSiH YaMuNa   ::

Isnin, 23 April 2012

:: Cerita Betik ::

Teringat satu cerita semasa aku mengajar murid tahun 6 di sebuah sekolah dalam Daerah Kota Tinggi.


Ketika itu kulihat anak-anak muridku mengantuk. Entah apa yang mereka lakukan pada waktu malam agaknya. Mungkin mengulangkaji pelajaran sehingga lewat malam. 


Untuk mengelakkan pengajaran dan pembelajaranku kaku, aku cuba mencari idea untuk menarik perhatian mereka terhadap pengajaranku. 


Fikir punya fikir, ~walah~ Ya, aku dapat satu idea setelah terpandang sepohon betik di tepi pagar sekolah berhampiran tingkap kelasku. 


Sekadar gambar hiasan
Pohon betik itu mempunyai beberapa biji buah yang molek. Terdapat sebiji yang sudah mulai kekuningan menandakan sudah hampir tiba masanya untuk dipetik.


Dengan nada serius, aku meminta murid-muridku agar memberi perhatian terhadapku. Aku mengangkat jari telunjuk tangan kananku lalu ku letakkan di atas kepala. Kemudian, aku tunjuk ke arah pohon betik tersebut lantas mengemukakan soalan cepu emas kepada mereka iaitu:

Pohon betik itu, lelaki atau perempuan?

Setelah mendengar soalan yang aku kemukakan, anak muridku melopong sambil menggaru-garu kepala yang aku rasa memang tidak gatal. Mereka mula bersoal jawab sesama mereka. Ada di antara mereka yang cuba menjawab tetapi tidak dapat menyatakan huraian jawapan mereka.


Setelah keadaan agak meriah tidak seperti pada awal tadi, dan aku rasa mereka sudah segar dengan soalan cepu emas. Jadi aku memberikan jawapan iaitu:

lelaki

Keadaan kelas semakin riuh kerana mereka mahu mengetahui mengapa jawapannya begitu.


Dengan muka yang selamba aku terangkan kepada mereka formula jawapan, iaitu :


betik = papaya

papa = ayah

ayah = lelaki


Anak muridku tercengang sebentar dengan formula jawapan yang ku berikan, lalu memonyongkan bibir kemudian ketawa berdekah-dekah sambil menepuk meja. 


Setelah keadaan terkawal, aku pun mula dengan topik pembelajaran pada hari tersebut. 


Alhamdulillah, mereka ceria mengikuti pengajaranku pada hari itu.


Buat anak-anak muridku yang terlibat dengan cerita ini atau pun tidak, walau di mana jua kalian berada, sesungguhnya aku rindu akan kalian.

:: Video Buat Anak Gayong ::




Video ini didedikasikan buat putera dan puteriku. 

:: Kalian Anak Hebat ::

Ahad, 22 April 2012

:: Aksi Puteri Ku Yang Cute ::

Indok Nur Zulfah

Itulah nama yang ku beri buat puteriku.
Puteriku ini pantang melihat kamera yang difokuskan padanya.
Cepat-cepat dia melakukan aksi.
Keletahnya sangat menghiburkan kami sekeluarga.

Jelingan manja lagi!!!!

Senyuman mulus...

Nampak bebeno dahi jendulmu puteriku....

Cute ker?

Entahlah!!!!!

Merajuk????


Alahaiiii.....
Aduhaiiii pening kepala.... 



Biarlah rahsia.......


Tak perlu kau tahu siapa di hatiku...........

Nak aiskrim dua....

Relax sebentar....

Usah kau renung.....

Marah????

Marah + rajuk yang panjang.....

Keceriaan terserlah.......

Senyuman penuh sinis.........

Hanya kau yang satu...........

Jangan lupa telefon tau......

Macam uncle McD.....


Gaya mesti lebih.....

Alahaii, dah mengantuk ker?

Renungan makrifat.......

::     TeRiMa KaSiH SeMuA     ::

:: Pantun Kasih 2 ::

Assalamualaikum para sahabat.

P A N T U N 

Aku menyediakan satu lagi catatan untuk menyiarkan pantun yang pernah aku kirim di laman berikut :

https://www.facebook.com/groups/khazanah/ 

Para sahabat sekalian, jika kalian ingin mengetahui pelbagai perkara tentang seni dan budaya termasuklah makanan serta petua-petua bangsa, aku syorkan agar kalian berkunjung ke laman tersebut.

Berikut antara pantun yang aku kirim melalui laman Khazanah :


Andai kata seteru menanti,
Hati membara sukar dipadam;
Andai cinta bertakhta di hati,
Luahkan segera usah dipendam.

Badak berendam di hujung kota,
Anak sang kera dimakan sawa;
Cinta terpendam membawa duka,
Akan sengsara ke hujung nyawa.

Buah meranti letak di baldi,
Mari dibakar di dalam peti;
Cinta sejati cinta abadi,
Biar mekar di dalam hati.

Menggali tanah letakkan baja,
Pohon kari tumbuh setara;
Apalah guna berkorban saja,
Andai diri berduka lara.

Ambil sekati daun selasih,
Dibuat bekal ke Pulau Penyengat;
Kalau hati sudahlah kasih,
Tepuk bantal serulah semangat.

Usah dipinta permata sepeti,
Andai baru berkenalan sehari;
Awal cinta memanglah simpati,
Sudah bersatu akan jadi cinta sejati.

Petik sehelai daun meranti,
Letak mari di dalam laci;
Tiada ternilai cinta sejati,
Terbit dari hati yang suci.

Cenderawasih burung khayalan,
Terbang tinggi di hujung kota;
Usah berkasih sekerat jalan,
Kelak diri tanggung derita.

Buah durian hendak dipesan,
Mari diisi ke dalam raga;
Memang impian semua insan,
Cinta kasih hingga ke syurga.

Nyonya manis hendak memancang,
Membawa raga bersama ikan;
Kita hanya mampu merancang,
Allah jua Maha Menentukan.

Mengapa dibakar pintu kota?
Jadi mudah musuh menyerbu;
Apakah sukar mengungkap kata?
"Kanda, dinda cinta padamu".

Terbang rendah sirama-rama,
Hinggap mari di pohon sena;
Biarlah indah dikecap sama,
Agar damai seluruh buana.

Buah mengkudu pahit dirasa,
Masam rasanya si asam jawa;
Bahasa itu menunjuk bangsa,
Tanpa bahasa tergadai jiwa.

Duduk bersantun di tangga madrasah,
Orang tua memberi faham;
Dengan berpantun minda diasah,
Allah jua Pemberi Ilham.

Pohon bakau hinggap kedidi,
Dihempas gelombang takkan mati;
Walau dikau tidakkan sudi,
Rayuan kumbang menggetar hati.

Anak dara ke rumah nyonya,
Beli kuaci buat jejaka;
Jiwa parah ada ubatnya,
Cinta suci penawar luka.

Denai ku redah cari melati,
Daun kari dibawa lari;
Amatlah mudah cari pengganti,
Petik jari beribu mari.

Pergi mengail di hujung jeti,
Sayang kiambang sangkut di joran;
Sungguhlah musykil rasa di hati,
Kumbang yang satu jadi pilihan?

Tempah kain buat maharani,
Kain bertenun pengganti diri;
Kumbang yang lain gagah berani,
Terbang berdengung lebah pun lari.

Berlalu raja bersama peti,
Peti berisi sekati ragi;
Usah memuja si jantung hati,
Kelak dirimu ditinggal pergi.

Ulam raja tumbuhnya di bendang,
Petik mari bawa ke telaga;
Usah teruja selayang pandang,
Selami hati jiwa dan raga.

Buah keranji si buah saga,
Letakkan ia di atas para;
Walau dikaji jiwa dan raga,
Pastikan ia tiada berputera.

Pulau Kapas banyak haruan,
Pisang berangan dimakan nyonya;
Sesak nafas tidak keruan,
Itulah penangan cinta namanya.

Pisau belati di tengah padang,
Pamornya lebar senang mencincang;
Si jantung hati datang bertandang,
Hati berdebar berdegup kencang.

Udang kara idaman pengail,
Batang sena mahu digalas;
Apa perkara yang jadi musykil?
Pantun yang mana perlu dijelas?

Letak peria di atas para,
Daun kari jangan dilipat,
Kalau dilipat hilang baunya;
Pastikan ia tiada berputera,
Agar tidak jadi suri kedua, ketiga atau keempat,
Kalau jadi pun apa salahnya.

Usah baling si anak lokan,
Daun atap daun pulasan;
Hidup saling ingat mengingatkan,
Agar tetap atas landasan.

Haruman ratu dibawa bayu,
Wangian terasa hingga ke Linggi;
Memang begitu resmi Melayu,
Martabat bahasa dijunjung tinggi.

Buah manggis berbelang-belang,
Tahan lama jika dipanggang;
Wahai sahabat ke mana menghilang?
Mari bersama turun ke gelanggang.

Masih terasa tanggung derita,
Kerna takut semasa berpantang;
Tanpa bahasa siapalah kita,
Bak melukut di tepi gantang.

Kota Lama tertanam belati,
Pohon rumbia dimakan rusa;
Biarlah nama terpahat di hati,
Agar si dia teringat sentiasa.

Samarinda rumahnya indah,
Lantai papan tersusun tangga;
Madah indah tersusun sudah,
Buat tatapan para pujangga.

Mawar harum sayang berduri,
Dimakan rusa di waktu pagi;
Saya pohon berundur diri,
Esok lusa berpantun lagi.

Ambil bara bawa keluar,
Dalam baldi berisi budu;
Biarlah suara jadi penawar,
Semoga jadi pengubat rindu.

Gunung Daik di hujung tanah,
Asap berkepul di Pulau Lingga;
Nasib baik ada Khazanah,
Tempat berkumpul para pujangga.

 Di tengah sawah sekawan itik,
Bulunya cantik indah berseri;
Bunga mawar harum dan cantik,
Bila dipetik terluka jari.

Hendak bertumbuk usah diterjah,
Kelak diri terima padah;
Buka facebook tataplah wajah,
Semoga menjadi kenangan terindah.

Ikan sepat mahu dikerat,
Mahu dikerat oleh Pak Arab;
Yang rapat semakin erat,
Yang erat semakin akrab.

Hendak menyabit daun kari,
Untuk tetamu berhati pilu; 
Khuatir terbit dalam diri,
Andai bertemu lidah pun kelu.

Pohon dedalu dimakan kanggaru,
Termakan dulu si ulam raja;
Lidah kelu tergaru-garu,
Si dia berlalu begitu saja.

Bawa sudu buat cik nyonya,
Roti kaya untuk tetamu;
Jika rindu seru namanya,
Moga si dia terbang padamu.

Roti prata untuk tetamu,
Orangnya kurus penuh berilmu;
Andai kita berdua bertemu,
Setangkai bunga ros ku beri padamu.

Naik sampan cari melati,
Bawa dadih pelbagai rasa;
Jika disimpan di dalam hati,
Hati pedih rosak binasa.

Dari mana asalnya tinta,
Dari Jakarta bawa ke mari,
Dari mana asalnya cinta, 
Dari mata turun ke hati.

Cik nyonya cabut dedalu,
Mahu diisi ke dalam baju;
Andai namanya kau sebut selalu,
Debar dadanya menjadi laju.

Bawa rempah bersama kari,
Hendak diisi ke dalam lori;
Cinta hampa memakan diri,
Cinta sejati dibawa lari.

Naik kuda di waktu pagi,
Hendak bermalam rumah tiada;
Usahlah dinda pergi lagi,
Kerana malam masih muda.

Anak dara membawa peti,
Kain kasa hendak diserah; 
Cinta nan lara jangan dekati,
Kelak tersiksa berjiwa parah.

Batang sena dibuat jerami,
Beri menteri dibuat tali;
Beruntung benar encik suami,
Mendapat isteri penuh mithali.

Beras malukut di atas tambak,
Datang Cik Limah menjual petai;
Jika takut dilambung ombak,
Jangan berumah di tepi pantai.

Tanam pinang rapat-rapat,
Agar senang puyuh berlari,
Kau pinang-pinang tak dapat-dapat,
Kau pujuk-pujuk kau bawa lari.

Bina kota sebatang kara,
Tepi paya sepohon sena;
Tutur kata baik bicara,
Buat si dia tidur tak lena.

Ambil tauhu di atas para,
Letak dekat dengan bahulu;
Andai mahu si anak dara,
Cuba pikat ibunya dahulu.

Buah ara di dalam raga,
Kacang parang jangan dilupa;
Andai perkara itu berlaku juga,
Bersedialah diparang dengan si bapa.

Buah kelapa berkembar lima,
Ke Pulau Payar belajar lintau;
Kalau si bapa jadi panglima,
Ku tebar layar pergi merantau.

Mari memetik si daun ketum,
Letak di dulang bersama jarum;
Bunga di dunia bukan sekuntum,
Banyak lagi yang lebih harum.

Hutan diredah cari angsa,
Rumput melata di tepi paya;
Pantun madah khazanah bangsa,
Mari kita lestari budaya.

Di hujung tanah Padang Temu,
Singgah Dengkil beli perahu;
Laman Khazanah penuh ilmu,
Rahsia dicungkil banyaklah tahu.

Ambil raga isikan serbat,
Letak ditangga bersama jamu;
Hamba bangga akan kerabat,
Memberi sumbangan tanpa jemu.

Menjual kayu di tengah kota,
Kayu berbatang di atas tanah;
Buat si ayu yang jelita,
Selamat datang ke laman Khazanah.

Kalau padi katakan padi,
Jangan hamba tertampi-tampi;
Kalau sudi katakan sudi,
Jangan si dia ternanti-nanti.

Isi barang dalam kendi,
Pak tani bernama Saleh;
Bukan orang tidak menyudi,
Tapi cik adik cerewet memilih.

Sekangkang tanah ditanam mangga,
Ambil batu bina teratak;
Memang benar kata pujangga,
Berfikir itu makanan otak.

Pohon selasih tumbuh melilit,
Lembut gebu bunga seroja;
Banyak kasih hanya di kulit,
Tanam tebu di bibir sahaja.

Amoi menari dalam pagoda,
Atas papan sungguh selesa;
Kenal sehari sudah tergoda,
Masa hadapan hancur binasa.

Buah berangan bijinya halus,
Jatuh ke tanah hati berdebar;
Berhati dengan bicara nan mulus,
Khuatir penuh duri selumbar.

Atas tanah si kura-kura,
Hendak lari terhalang bata;
Hati terpanah cinta asmara,
Hari-hari menanggung derita.

Anak puyu berenang melata,
Anak lebah hurung pelita;
Jika begitu mainan cinta,
Terpaksa tabah harung derita.

Minum sarbat di tepi tangga,
Duduk santun dara berlima,
Lihat tebu dibawa cik nyonya,
Ke mana gerangan hendak ditanya;
Mari sahabat mari pujangga,
Mari berpantun bersama-sama,
Agar capai seribu (1000) komennya,
Insyaallah menjadi sejarah hendaknya.

Ke Gua Niah berjalan lambat,
Lepaskan lelah di Kampung Bunian;
Syabas dan tahniah buat sahabat,
Kerana telah mencapai impian.

Dalam kota jahit jelujur,
Pergi ke pekan beli keria;
Jika kita bersikap jujur,
Hidup akan dipandang mulia.

Pergi berburu sampai sempadan,
Dapat kancil badan berjalur;
Biar carik baju di badan,
Asalkan hati bersih dan jujur.

Empat dara duduk di tepi sungai,
Daun selasih di atas batu;
Manis rupa elok perangai,
Sukar dipilih yang mana satu.

Takkan ku tewas memanjat gunung,
Burung merpati tepi perigi;
Sudah puas matanya ku renung,
Namun hati berbelah bahagi.

Terbangnya lama si burung undan,
Batu berpahat hendak dibaca;
Kalau dah nama permintaan badan,
Intan dilihat dipilih kaca.

Buat juadah gunakan santan,
Isi di kobok bawa ke pulau;
Kalau sudah namanya intan,
Lagi disorok lagi berkilau.

Ikan seluang ikan pelata,
Dibawa balik dara berempat;
Bukan ku pandang dengan mata,
Ku tilik-tilik dengan makrifat.

Raga bulat ditimbang-timbang,
Berkantung-kantung buah berangan;
Cubalah dekat burung yang terbang,
Untung-untung hinggap di tangan.

Pukul tabuh atas jambatan,
Anak dara jadi tertawan;
Memang jaguh ayam tambatan,
Pantas membaca geraknya lawan.

Letak selasih ke dalam loyang,
Mahu dipilih hendak ditayang;
Bercerai kasih bercerai sayang,
Hilang kekasih terbayang-bayang.

Berkain baldu duduknya santun,
Dara jelita rambutnya lebat:
Demam rindu akan pantun,
Khazanah jua jadi pengubat.

Buah rengas dalam sumpit,
Dibawa orang dari Daik;
Letak sebanding emas dan ringgit,
Saya pilih budi yang baik.

Jangan pijak daun keladi,
Urut bahu di Kampung Baram;
Tekong bijak jaga kemudi,
Elak perahu jangan karam.

Tujuh luk keris pusaka,
Jangan gantung di atas peti;
Sama duduk kita bersuka,
Untung-untung terhibur hati.

Dara sunti berkain batik,
Sungguh ayu memetik daun;
Jadilah seperti bunga plastik,
Takkan layu walau bertahun.

Anak gadis menjahit renda,
Waktu pagi bergurau senda;
Cantik manis di mata dinda,
Ayu lagi di mata kanda.

Sutra Samarinda kain digaya,
Bawa setanggi dupa suasa;
Pantun indah khazanah budaya,
Lambang tinggi seninya bangsa.

Berganti hari menunggu teman,
Temanku pergi cari melati;
Indah berseri bunga di taman,
Harum mewangi menusuk hati.

Temanku pergi cari melati,
Bersua gajah di hutan Selama;
Harum mewangi menusuk hati,
Cahaya wajah sinar purnama.

Bersua gajah di hutan Selama,
Sayang di sayang tidak meronta;
Cahaya wajah sinar purnama,
Terbayang-bayang di ruang mata.

Sayang di sayang tidak meronta,
Ke tanah lapang pandangan terang;
Terbayang-bayang di ruang mata,
Aduhai sayang miliknya orang.

Sarat perahu muatannya kerang,
Ikan keli ikan pelata;
Andai ku tahu miliknya orang,
Tidak sekali ku bermain mata.

Kenyang sawa makan kera,
Nyenyak tidurnya di atas bata;
Biar kubawa hati yang lara,
Moga wajahnya luput di mata.

Pergi ke kota hanya menapak,
Membeli barang di kedai Cik Mahat;
Gajah di mata tidaklah nampak,
Kuman di seberang jelas terlihat.

Gunung Banang tinggi mengawan,
Nampak dari Gunung Soga;
Bila ku pandang wajahmu puan,
Bagai ku lihat pintu syurga.

Baca akhbar fikiran melayang,
Terkenang Pak Mahat disapa cik nyonya;
Apa khabar sahabatku sayang?
Ku doakan sihat walafiat hendaknya.

Anak itik menyudu betik,
Pantas berlari si biri-biri;
Bunga cantik baru dipetik,
Tangkai berduri mencucuk jari.

Budak-budak berkain batik,
Menyirat pukat di senjakala;
Apakan tidak bunga dipetik,
Warnanya memikat mewangi pula.

Menyirat pukat di senjakala,
Jala ditebar dapatnya ranting;
Warnanya memikat mewangi pula,
Tidak sabar hendak ku sunting.


::   SeLaMaT BeRpAnTuN   ::

Perlu Maklumat?