Pagi tadi, kami menghantar puteri sulung kami pulang ke asrama. Pada mulanya, kami berbincang sama ada puteri kami masih perlu tinggal di asrama atau tidak.
Untuk makluman, asrama tersebut bukanlah asrama penuh yang hebat. Asrama yang biasa-biasa sahaja. Asrama harian. Jarak dari rumah ke sekolah pula tidaklah terlalu jauh iaitu cuma 11km sahaja. Namun, memandangkan puteri kami akan menduduki PMR pada tahun ini dan setelah memikirkan keadaan puteri kami seandainya berulang dari rumah ke sekolah mungkin menyebabkan masa dan tenaga terbuang begitu sahaja, maka tinggal di asrama adalah pilihan yang terbaik.
Ketika tiba di asrama, aku menurunkan beg dan barang keperluannya. Sempat juga aku berseloroh ketika puteri kesayanganku itu menarik beg besar beroda. "Hai, kakak macam tersingkir keluar dari AF aja..." selorohku. Dia hanya tersenyum lalu menjuihkan hujung bibirnya. Dia nampak manis sekali ketika itu.
Aku amat bersyukur kepada Allah kerana mengurniakan kami puteri yang rupawan. Sebenarnya, aku hanya berusaha untuk menenangkan perasaanku. Walaupun puteriku sudah masuk tahun kedua tinggal di asrama, namun aku masih khuatir tentang keadaannya nanti.
Ketika kami hendak pulang, puteriku bersalam denganku. Aku terus memeluknya dan sempat ku titipkan pesanan agar menjaga diri dan berhati-hati memilih kawan. Aku mencium kedua belah pipinya dan mengucup dahinya. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaanku ketika itu.
Isteriku? Lagilah sensitif. Terlihat sebutir mutiara seakan mahu gugur dari sudut kelopak matanya. Ahhh.... syahdu dan pilu....
Doakan kebahagiaan kami....... Aku sayang keluargaku..........