DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG
MH370 telah menjadi fenomena yang melanda seluruh pelusuk bumi. Semua mata, telinga, mulut dan pemikiran majoriti manusia tertumpu di negara yang tercinta ini.
Segala macam spekulasi yang tercetus melalui pemikiran bijak pandai dan yang memandai-mandai dalam segala ilmu samada ilmu penerbangan, pelayaran, penyelaman, pengimejan, ilmu penggunaan peralatan yang canggih dan sofistikated seperti kapal terbang, kapal laut, kapal selam, ilmu geografi dan pelbagai cabang ilmu telah digembleng dan diguna bagi menyelesaikan misteri ini.
Ada juga yang berspekulasi mengaitkan misteri ini dengan kemelut politik dalaman negara yang semakin meruncing.
Terdapat juga bijak pandai yang ahli akan kemelut politik antarabangsa berspekulasi mengaitkannya dengan penglibatan negara-negara tertentu yang cuba untuk menguasai negara yang strategik ini secara halus. Bagaimana? Melalui peristiwa MH370 ini, negara-negara tersebut menawarkan bantuan mencari dan menyelamat yang melibatkan segala peralatan termasuk aset-aset ketenteraan samada di Laut China Selatan mahupun di Selat Melaka yang menjadi rebutan antara kuasa-kuasa besar tersebut. Ada yang mengaitkannya dengan syiah, iaitu balas dendam penganutnya yang ekstrim yang ingin mengajar negara ini kerana ketegasan dalam mengekang pengaruh syiah. Konflik antara Rusia dan Ukraine juga turut dikaitkan.
Ahhh, terlalu banyak spekulasi, pendapat, cadangan, buah fikiran dan hipotesis daripada para bijak pandai dan juga yang memandai-mandai!
Setelah membaca pelbagai komentar tentang misteri ini melalui Facebook rakan-rakan dan pelbagai blog pilihan, pemikiranku jadi celaru dan keliru. Kebanyakan hipotesis disertai dengan hujah-hujah yang nampak realistik, jadi siapa sebenarnya yang betul dan benar? Aduhai, memang berat fenomena ini!
Selepas menunaikan solat Subuh pagi tadi, aku teringat akan saranan sahabat merangkap guru aku. Katanya, seandainya menghadapi persoalan, tanyalah Allah SWT melalui Al-Qur'an yang penuh mukjizat. Aku segera mencapai Al-Qur'an. Aku pohon kepada Allah agar memberi petunjuk tentang kemelut ini, sambil memejamkan mata aku membuka lembaran Al-Qur'an dan aku dapati jari telunjukku menunjuk tepat kepada ayat 40 Surah An-Nur. Aku terus membacanya dan hatiku amat tersentuh akan terjemahannya. Subhanallah. Allahuakbar. Aku tidak mampu berkata-kata. Hanya sebak di dada dan rindu akanNya.
Bacalah:
"Atau (orang-orang kafir itu keadaannya) adalah umpama keadaan (orang yang di dalam) gelap-gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak bertindih ombak; di sebelah atasnya pula awan tebal (demikianlah keadaannya) gelap-gelita berlapis-lapis - apabila orang itu mengeluarkan tangannya, ia tidak dapat melihatnya sama sekali. Dan (ingatlah) sesiapa yang tidak dijadikan Allah menurut undang-undang peraturanNya mendapat cahaya (hidayah petunjuk) maka ia tidak akan beroleh sebarang cahaya (yang akan memandunya ke jalan yang benar)."
Walau apa pun perkara yang bermain dalam pemikiran berkaitan misteri ini, sesungguhnya ia dalam perancangan Allah SWT. Samada MH370 dijumpai dengan selamat atau sebaliknya, samada teori spekulasi dan hipotesis yang dihujahkan oleh para bijak pandai dan yang memandai-mandai itu benar atau pun salah, jadual Allah SWT tetap berjalan. Allah mahu menunjukkan kepada kita bahawa segala ciptaan dan pemikiran manusia itu tidak dapat menandingi kekuasaan dan ilmuNya. Tiada daya upaya kita melainkan dengan izinNya. Pulangkan ia kepada Allah SWT.
Subhanallah. Daripada Allah kita datang, kepadaNya jua sebaik-baik tempat kembali. Cukuplah Allah bagi kita.
Wallahua'lam.
"Sampaikanlah walau sepotong ayat"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan