:: KaLiAn ::

Rabu, 28 November 2012

:: Badik Bugis La Gecong Pusaka Leluhur ::

Assalamualaikum warohmatullahi wabarakatuh buat para tetamu yang budiman. 
Kalian pernah melihat badik Bugis? 
Pada kali ini, aku ingin berkongsi foto badik Bugis yang aku simpan. Badik ini merupakan warisan daripada leluhurku. Ia dinamakan LA GECONG. Dengan izin Allah, ia telah menjadi 'teman setia'ku hampir dua puluh tahun sehingga kini. Menurut datukku, bilah keris ini daripada daun / pelepah sagu yang dipicit-picit dengan menggunakan jari sehingga bilahnya menjadi seperti sekarang. Namun, jika diamati bilahnya, seperti ada kesan picitan. Wallahu'alam.
Di bawah ini aku kongsikan foto-foto La Gecong ku.



 


















Menurut orang Bugis badik merupakan sebuah benda budaya yang akan meningkatkan identiti diri seseorang, terutama bagi kaum lelaki. 
Pepatah Bugis tentang badik:
“Taniya ugi narekko de’na punnai kawali” 
(Bukan seorang Bugis jika tidak memiliki badik).

Semoga ia bermanfaat buatku dan keturunanku pada masa akan datang. 
In Shaa Allah.

Isnin, 5 November 2012

:: CUTI-CUTI DI BUKIT GAMBANG WATER PARK ::

Cuti hujung tahun ni ke mana? Dah buat perancangan? Baiklah. Saya cadangkan agar kalian bawa keluarga ke Bukit Gambang Water Park. Sebenarnya saya dah bawa keluarga ke sana pada cuti sekolah pertengahan tahun pada 4 Jun 2012 yang lalu. Memang menyeronokkan. Anak-anak jangan cerita, kalau boleh nak tinggal terus di sana. Tiket masuk bagi dewasa RM21.90 manakala kanak-kanak pula RM14.90. Percuma bagi kanak-kanak yang ketinggiannya kurang daripada 90cm. 

Di bawah ini, saya tunjukkan gambar ketika kami di sana.








Lazy river antara yang terbaik. Duduk santai atas pelampung sambil dibawa arus. Perghhh... Boleh tertidur tu....

Menunggu pirana memuntahkan air.





Pirana sudah memuntahkan air.













Di bawah ini saya paparkan gambar iklan Rumah Tamu atau Home Stay di Taman Gambang Jaya. Bagi pemilik rumah tamu yang saya paparkan ini, jangan lupa bagi diskaun kepada saya sekiranya saya hendak menginap di rumah tamu kalian. Promosi dan publisiti untuk membantu perniagaan kalian. Semoga kita semua beroleh rahmat. Amin.








Jadi, pergi jangan tak pergi..... seronok woooo...

Selasa, 1 Mei 2012

:: Terukir Di Bintang By Baby Zulfah ::

Puteriku, Indok Nur Zulfah merupakan peminat nombor 1 Yuna. 

Mengapa? Tak percaya?

Sila tonton video di bawah:


Semoga namamu Terukir Di Bintang. 

::  TeRuKiR Di BiNtAnG  ::

Ahad, 29 April 2012

:: Serakah Rakus Meratah ::

Dalam benakku muncul beberapa persoalan yang kadang-kala mengasak kotak fikir ini. 

Sebuah keamanan yang telah berpuluh tahun dipupuk, dibaja dan dibelai dengan penuh kasih sayang kini semakin terhakis. 

Tembok tebal keamanan itu kini sudah mulai runtuh berkeping-keping.

Tidak mustahil suatu hari nanti, tiada lagi nikmat keamanan yang mahu dikecapi.

Selalunya nikmat yang terpampang di hadapan mata tidak akan dipedulikan kerana hawa nafsu yang membuak-buak.

Serakah kini sudah mula rakus meratah keamanan.

Apakah dengan melakukan demonstrasi yang kemudiannya memprovokasi akan menyelesaikan masalah?

Ingatlah, golongan majoriti tidak pernah merestui tindakan-tindakan tersebut. 

Golongan yang mempunyai kewarasan fikiran akan menterjemah suara mereka melalui peti undi.


Tunggulah.  

Andai kata PRU13 akan diadakan sehari dua, atau sebulan dua ini, mereka akan bersuara.

Bersuara untuk mempertahan nikmat keamanan yang masih berbaki.


Ingatlah, jika nikmat itu hilang, maka barulah ia akan diraba, dicari dan diselongkar, namun yang pasti ia tidak akan kembali secara mudah dan percuma.

Ketika itulah berjuta penyesalan akan menerjah hati yang kaku dan beku yang selama ini hanya menjadi tugu hitam di dalam diri.


Serakah...
Kini rakus meratah...
Manusia terus pecah-belah...
Nikmat keamanan kian goyah...
Tanah pusaka warisan menangis hiba...
Anak cucu akan merempat di atas tanah bersejarah.


::  Serakah Rakus Meratah  ::


Catatan berbentuk sajak, sila baca perkataan yang berwarna kuning sahaja.

Sabtu, 28 April 2012

:: Aktiviti BERSIH 3.00 PM ::

Inilah aktiviti yang paling aku gemari. 


Aktiviti BERSIH ini melibatkan seluruh ahli keluargaku tepat pada pukul 3.00 petang.


Dengan kuasa diktator yang ada padaku, aku telah memaksa seluruh ahli keluargaku menyertai aktiviti ini. 


Walaupun anak-anakku masam mencuka, namun mereka akur dengan arahanku. 


Arahan yang penuh kasih sayang diselangi kata-kata yang boleh menaikkan semangat mereka demi keluarga, rumah tangga dan terutama sekali demi negara yang tercinta. 


Bukannya apa, aku mahu mereka membesar seiring dengan kekuatan jiwa, kekentalan semangat agar mereka tidak mudah diperkotak-katikkan. 


Biarlah mereka berfikiran rasional, bahawa jiwa yang kuat dan kesihatan yang baik akan mewujudkan keluarga yang harmoni. 


Seterusnya, keluarga yang harmoni akan mewujudkan masyarakat sejahtera yang akhirnya akan melahirkan negara yang aman makmur.


Negara yang makmur wujud jika rakyatnya mematuhi undang-undang. Kerajaan terbina dengan kuasa majoriti rakyat yang mengundi sesebuah parti. 


Jadi, akurlah dengan suara majoriti rakyat.


Alamak.... Aku dah mula melalut.


Usah banyak berpolitik, mari lihat aktiviti BERSIH yang baru dijalankan sebentar tadi.








Daripada duduk bersila di tengah jalan, lebih-lebik baik BERSIHkan rumah. 
Ada gak faedahnya.

::  Rumah Bersih Keluarga Sihat  ::

:: Apaa?? Kelingking Berkait?? ::

Cerita yang akan menyusul ini masih lagi berkisar di sjkt.


Ketika aku sedang duduk di hadapan kelas sambil menanda buku latihan murid, aku didatangi oleh seorang murid. 


Murid itu menunjukkan jari kelingkingnya kepadaku, seperti ini.




Dia melakukan perbuatan itu dengan wajah berkerut yang seakan-akan meminta simpati dariku.


Tanpa membuang masa aku menghulurkan jari kelingkingku,



lalu ku kaitkan dengan jari kelingkingnya seperti gambar di bawah.




Wajahnya semakin berkerut. Tangan kirinya berada tepat pada zip seluarnya sambil meramas sesuatu.


Seorang murid yang duduk berhampiran dengan meja guru, memberitahu:

"Cikgu, dia mahu kincing.."



Aku tersentak, lalu melepaskan jari kelingkingku dari jari kelingkingnya.


Cepat-cepat aku meminta muridku itu pergi ke tandas.


Laaaaa...... baru aku tahu bahawa, isyarat jari kelingking itu tandanya buang air kecil @ kencing.


Aku rasa isyarat jari kelingking ini, hanya diketahui di sjkt sahaja. Agaknyalah......

Moral of the story:

Jangan suka-suka tunjuk isyarat jari, nanti tak pasal-pasal kena kencing.


Hua hua hua.

Mari kita tengok siapa yang kena!!

:: VaNaKaM SaR ::

Hari ini aku ingin berkongsi satu cerita yang akan ku ingat sampai bila-bila.

Cerita ini masih lagi berkisar di tempat bertugasku iaitu di sekolah jenis kebangsaan Tamil di daerah Kota Tinggi. 


Di sini banyak peristiwa yang menjadi kenangan manis buatku. Cerita lucu dan cerita gembira.

Ceritanya begini:


Pada hari pertama aku memulakan tugas, selepas perhimpunan pagi aku berjalan mencari kelas Tahun 2 Vivegam. Di tanganku terdapat jadual waktu pengajaran yang aku rujuk sebelum masuk ke dalam kelas. 

Setelah aku dapat mencari kelas tersebut, aku pun masuk ke dalam kelas dengan senyuman yang paling menawan. : )

"Vanakam Sar" 


Ucap murid-murid Tahun 2 Vivegam serentak.

Aku terlopong tanpa kata mendengar ungkapan yang pertama kali ku dengar. Aku tidak tahu bagaimana mahu membalas ucapan tersebut.

Tak apa..


Aku balas dengan ucapan :


"Selamat Sejahtera murid-murid"


Murid-muridku memandang aku dengan perasaan keliru.

Kemudian aku mendengar seorang murid berkata kepada rakan-rakannya:


"Ini Cikgu Melayulah..."

Sepantas kilat aku lihat, beberapa orang murid menepuk dahi sambil berkata:


"Ayyooo... Malay cikgu"

Beberapa murid lain meletakkan ke sepuluh jari di hadapan bibir mereka sambil menaikkan bahu masing-masing dengan wajah yang tersipu-sipu malu.


Mungkin juga mereka bimbang aku memarahi mereka.

Kemudian, dengan serentak mereka membalas ucapan  ku :


"Selamat Sejahtera, cikgu.."

Aku mengukir senyuman buat mereka, namun aku juga lebih keliru daripada mereka. 


Sesungguhnya, ungkapan itu akan sentiasa tertanam dalam lubuk jiwaku. 

Ungkapan itu juga telah menguatkan semangatku dan aku berjanji kepada diriku bahawa aku akan meletakkan diriku menjadi sebahagian daripada hidup mereka.

:: VANAKAM SAR ::


Jumaat, 27 April 2012

:: aLaMaK !!!! WaJaH MeReKa SaMa? ::

Teringat hari pertama aku bertugas di sebuah sekolah Tamil di daerah Kota Tinggi. 


Ketika aku menjejakkan kaki di pintu pagar sekolah tersebut, bermacam-macam perkara yang aku fikirkan. Bagaimanalah agaknya mengajar di sekolah jenis kebangsaan Tamil (sjkt)? Boleh atau tidak aku bertugas di sekolah ini? Aku memang tiada pengalaman mengajar di sekolah seperti ini. 


Aduhai, bermacam perkara yang bermain di benakku!


Tension. 

Gugup. 

Berdebar. 

Risau. 

Khuatir. 

Bimbang. 

Macam-macam ada.


Aku terus masuk ke pejabat sekolah untuk menulis nama dalam Buku Rekod Kehadiran Guru.


Kriiiiiinnnnggggggg.....................


Loceng pun berbunyi menandakan perhimpunan akan diadakan sebentar lagi. 


Aku lihat murid berduyun-duyun menuju ke tapak perhimpunan. Suasana ketika itu agak riuh kerana murid-murid sangat teruja bertemu semula dengan rakan-rakan mereka. 


Kelihatan juga ibu dan bapa meninjau anak mereka dari luar pagar sekolah. Hati kecilku berkata, mungkin anak mereka dalam Tahun 1. 


Aku memerhati gelagat seorang  pengawal keselamatan yang berbadan agak gempal dan bermisai lebat berdiri di pintu pagar sekolah sambil berbual dengan para ibu bapa. Macam Sarjan Misai dalam cerita Gerak Khas. 


Semasa aku berjalan ke tapak perhimpunan, dia mengucapkan selamat pagi kepadaku sambil tangannya mengurut misai menggunakan ibu jari dan jari telunjuk tangan kanannya. Dengan penuh hormat aku membalas ucapannya sambil melemparkan senyuman yang kelat. 


Bukannya apa, aku agak gementar melihat misai dan renungannya yang tajam. Cepat-cepat aku berlalu menuju ke tapak perhimpunan. 


Di situ, aku lihat murid-murid sudah sedia berbaris mengikut kelas kecuali murid-murid Tahun 1 yang masih tercari-cari barisan kelas mereka. Guru-guru kelas Tahun 1 memanggil nama murid mereka lalu dibimbing untuk berbaris mengikut kelas.


Setelah keadaan sudah sedia dan terkawal, perhimpunan pun dimulakan. 


Mataku terbang melihat satu persatu wajah-wajah yang sedang berbaris di hadapanku. Ku buka mataku luas-luas kemudian ku kecilkan.


Alamakkk.... 


Sekali lagi aku ulangi perbuatanku membesar dan mengecilkan mata sambil memerhatikan wajah-wajah bakal anak muridku.


Memang sah.


Aku lihat anak-anak comel di hadapanku ini seakan sama sahaja wajahnya.


Hakikatnya, aku tidak dapat mengecam wajah mereka. 


Wajah semua murid aku lihat hampir sama semuanya. 


Aku hanya dapat membezakan jantina mereka sahaja. Itupun hanya melalui pakaian yang mereka pakai.


Ini sudah kes berat. Aku terfikir bagaimana nanti aku mahu memanggil nama mereka jika aku tidak dapat membezakan wajah mereka. 


Alhamdulillah, setelah seminggu berlalu, aku sudah dapat mengecam dan memanggil nama beberapa orang murid dengan tepat.


Nama-nama seperti Gayathri, Yanusha, Sarinisa, Vemela, Logeswari, Bawathareni, Thiruchandran, Logeswaran dapat ku hafal  dalam seminggu.


Buat anak-anakku bekas murid SJKTJT, papa rindu akan kalian. Teruskan perjuangan dalam menggali ilmu sebanyak mungkin di bumi Malaysia yang bertuah ini.


Moral of the story :
Tiada yang mustahil jika keikhlasan mengalir di dalam pembuluh darah ini.

Khamis, 26 April 2012

:: CeRiTa BrA ::

Hari ini nak cerita yang seksi-meksi sikit..... Jangan terkejut pulak apabila kalian membaca tajuk catatan ini.


Bra ???
Sekadar gambar hiasan
Ya, bra..... 


Ceritanya begini :

"Assalamualaikum bro...." itulah ungkapan pertama yang keluar dari mulut ketika bersua dengan teman-teman ku. 


Kadang-kadang ketika berbual dengan teman melalui telefon pun ungkapan BRO tidak lepas dari mulut kami.


Pada suatu hari, selepas menjawab panggilan telefon daripada teman, salah seorang anakku datang menghampiriku. 


"Etta, kenapa etta selalu cakap 'bro'? Kalau jumpa kawan pun cakap 'bro', kat telefon pun cakap 'bro'......" tanya anakku.


"'Bro' tu apa etta?" anakku menyambung pertanyaannya.


Dengan konfidennya aku menjawab pertanyaan anakku.

"'Bro' tu brother. Panggilan pendeknya Bro..... Eja brother,  B R O T H E R = brother... Nak mudah, panggil bro..." jelasku lalu mengajarnya mengeja  ejaan tersebut.



"Brother tu abang atau adikkkan etta?" tanya anakku lagi.


"Ha'ah....." jawabku ringkas.


"Bro untuk lelakikan etta?" sambungnya lagi.


"Ya sayang, bro memang untuk lelaki," jawabku dengan penuh kasih sayang.


"Kalau perempuan panggil apa etta?" soalan cepumas terpacul dari mulut comel anakku.


"Panggil BRA," jawabku ringkas, tepat dan padat.


"Bra ????" anakku ingin kepastian.


"Ha'ah... Bra," tegasku, endah tak endah.


Pada hari esoknya, ibuku datang ke rumah untuk melawat cucunya. Sampai sahaja di muka pintu, anakku menyambut neneknya dengan ungkapan :


"Hai, BRA ..... Rindu dengan BRA...."


Ibuku terlopong mendengar sapaan cucunya sambil menjeling kelat dengan kening yang berkerut. Dalam hatiku, menjawab panjanglah nampaknya selepas ini.

Aku menerangkan keadaan sebenar kepada ibuku.




Moral of the story :
Jawablah pertanyaan anak dengan penuh keikhlasan. Nak bergurau pun patut-patutlah.....



:: CeRiTa iKAn BaKaR ::

Malam tadi aku sukar melelapkan mata. Aku baring sambil terkebil-kebil melihat siling rumah yang aku nampak berkotak-kotak yang sekejap kecil kemudian besar, kecil semula kemudian besar. 


Aku bingkas bangun dari perbaringan lalu turun dan terus menuju ke dapur untuk meneguk air jarang segelas dua. 


Ketika sedang minum, aku terpandang sangei yang di dalamnya terdapat separuh ikan bakar yang menjadi lauk petang tadi. Haaa... Kalian tahu tak apa tu sangei? Sangei ni loghat Melayu Perak yang bermaksud tudung saji.


Aku nak story sikit kepada kalian. Bukan pasal sangei tapi pasal ikan bakar. 


Sekadar gambar hiasan.
Suatu ketika dahulu, aku sekeluarga makan tengah hari yang berlauk ikan bakar, kicap berlada, tempe goreng sambal, telur dadar dan sayur cap cai.


Anak aku yang berumur 4 tahun tidak jemu-jemu bertanya tentang nama makanan yang terhidang di atas meja. Aku memang suka melayan segala pertanyaannya. 


"Etta, ini apa?" tanya anakku. 
(Etta adalah panggilan anak-anak buatku)

"Ini nasi, sayang" jawabku dengan lembut.

"Ini?" tanyanya lagi.

"Ini tempe goreng sambal," jawabku tanpa menghampakannya.



"Ini pulak?" soalnya lagi inginkan jawapan.

"Ini telur dadar, sayang," jawabku dengan sopan.

"Ini apa etta?" tanya anakku.

"Ini ikan bakar," jawabku.

Aku memintanya berdoa sebelum kami sekeluarga menikmati makanan. Kami pun menikmati juadah tengah hari. Aku mencubit isi ikan bakar untuk dimakan.



Tiba-tiba, anakku yang suka bertanya ini bersuara:

"Ayok tak tau, etta makan ikan bakar... Ayok tak tau, etta makan ikan bakar,"


"Ha mengapa? Tak boleh ke etta makan ikan bakar ini?" tanyaku dengan hairan.


Anakku menjawab "Mana boleh makan ikan bakar...."


Aku semakin hairan. "Mengapa tak boleh makan ikan bakar?" aku bertanya lagi.

"Kita tak boleh makan ikan Bakar. Nanti Bakar marah.... Kalau kita makan ikan dia, dia nak makan apa?" jawabnya dengan penuh keikhlasan.

Pecah ketawa kami sekeluarga dengan penjelasan anakku itu.



Untuk makluman, Bakar adalah anak jiran kami yang menjadi teman sepermainan anakku.

Perlu Maklumat?

Powered By Blogger