:: KaLiAn ::

Rabu, 28 November 2012

:: Badik Bugis La Gecong Pusaka Leluhur ::

Assalamualaikum warohmatullahi wabarakatuh buat para tetamu yang budiman. 
Kalian pernah melihat badik Bugis? 
Pada kali ini, aku ingin berkongsi foto badik Bugis yang aku simpan. Badik ini merupakan warisan daripada leluhurku. Ia dinamakan LA GECONG. Dengan izin Allah, ia telah menjadi 'teman setia'ku hampir dua puluh tahun sehingga kini. Menurut datukku, bilah keris ini daripada daun / pelepah sagu yang dipicit-picit dengan menggunakan jari sehingga bilahnya menjadi seperti sekarang. Namun, jika diamati bilahnya, seperti ada kesan picitan. Wallahu'alam.
Di bawah ini aku kongsikan foto-foto La Gecong ku.



 


















Menurut orang Bugis badik merupakan sebuah benda budaya yang akan meningkatkan identiti diri seseorang, terutama bagi kaum lelaki. 
Pepatah Bugis tentang badik:
“Taniya ugi narekko de’na punnai kawali” 
(Bukan seorang Bugis jika tidak memiliki badik).

Semoga ia bermanfaat buatku dan keturunanku pada masa akan datang. 
In Shaa Allah.

Isnin, 5 November 2012

:: CUTI-CUTI DI BUKIT GAMBANG WATER PARK ::

Cuti hujung tahun ni ke mana? Dah buat perancangan? Baiklah. Saya cadangkan agar kalian bawa keluarga ke Bukit Gambang Water Park. Sebenarnya saya dah bawa keluarga ke sana pada cuti sekolah pertengahan tahun pada 4 Jun 2012 yang lalu. Memang menyeronokkan. Anak-anak jangan cerita, kalau boleh nak tinggal terus di sana. Tiket masuk bagi dewasa RM21.90 manakala kanak-kanak pula RM14.90. Percuma bagi kanak-kanak yang ketinggiannya kurang daripada 90cm. 

Di bawah ini, saya tunjukkan gambar ketika kami di sana.








Lazy river antara yang terbaik. Duduk santai atas pelampung sambil dibawa arus. Perghhh... Boleh tertidur tu....

Menunggu pirana memuntahkan air.





Pirana sudah memuntahkan air.













Di bawah ini saya paparkan gambar iklan Rumah Tamu atau Home Stay di Taman Gambang Jaya. Bagi pemilik rumah tamu yang saya paparkan ini, jangan lupa bagi diskaun kepada saya sekiranya saya hendak menginap di rumah tamu kalian. Promosi dan publisiti untuk membantu perniagaan kalian. Semoga kita semua beroleh rahmat. Amin.








Jadi, pergi jangan tak pergi..... seronok woooo...

Selasa, 1 Mei 2012

:: Terukir Di Bintang By Baby Zulfah ::

Puteriku, Indok Nur Zulfah merupakan peminat nombor 1 Yuna. 

Mengapa? Tak percaya?

Sila tonton video di bawah:


Semoga namamu Terukir Di Bintang. 

::  TeRuKiR Di BiNtAnG  ::

Ahad, 29 April 2012

:: Serakah Rakus Meratah ::

Dalam benakku muncul beberapa persoalan yang kadang-kala mengasak kotak fikir ini. 

Sebuah keamanan yang telah berpuluh tahun dipupuk, dibaja dan dibelai dengan penuh kasih sayang kini semakin terhakis. 

Tembok tebal keamanan itu kini sudah mulai runtuh berkeping-keping.

Tidak mustahil suatu hari nanti, tiada lagi nikmat keamanan yang mahu dikecapi.

Selalunya nikmat yang terpampang di hadapan mata tidak akan dipedulikan kerana hawa nafsu yang membuak-buak.

Serakah kini sudah mula rakus meratah keamanan.

Apakah dengan melakukan demonstrasi yang kemudiannya memprovokasi akan menyelesaikan masalah?

Ingatlah, golongan majoriti tidak pernah merestui tindakan-tindakan tersebut. 

Golongan yang mempunyai kewarasan fikiran akan menterjemah suara mereka melalui peti undi.


Tunggulah.  

Andai kata PRU13 akan diadakan sehari dua, atau sebulan dua ini, mereka akan bersuara.

Bersuara untuk mempertahan nikmat keamanan yang masih berbaki.


Ingatlah, jika nikmat itu hilang, maka barulah ia akan diraba, dicari dan diselongkar, namun yang pasti ia tidak akan kembali secara mudah dan percuma.

Ketika itulah berjuta penyesalan akan menerjah hati yang kaku dan beku yang selama ini hanya menjadi tugu hitam di dalam diri.


Serakah...
Kini rakus meratah...
Manusia terus pecah-belah...
Nikmat keamanan kian goyah...
Tanah pusaka warisan menangis hiba...
Anak cucu akan merempat di atas tanah bersejarah.


::  Serakah Rakus Meratah  ::


Catatan berbentuk sajak, sila baca perkataan yang berwarna kuning sahaja.

Sabtu, 28 April 2012

:: Aktiviti BERSIH 3.00 PM ::

Inilah aktiviti yang paling aku gemari. 


Aktiviti BERSIH ini melibatkan seluruh ahli keluargaku tepat pada pukul 3.00 petang.


Dengan kuasa diktator yang ada padaku, aku telah memaksa seluruh ahli keluargaku menyertai aktiviti ini. 


Walaupun anak-anakku masam mencuka, namun mereka akur dengan arahanku. 


Arahan yang penuh kasih sayang diselangi kata-kata yang boleh menaikkan semangat mereka demi keluarga, rumah tangga dan terutama sekali demi negara yang tercinta. 


Bukannya apa, aku mahu mereka membesar seiring dengan kekuatan jiwa, kekentalan semangat agar mereka tidak mudah diperkotak-katikkan. 


Biarlah mereka berfikiran rasional, bahawa jiwa yang kuat dan kesihatan yang baik akan mewujudkan keluarga yang harmoni. 


Seterusnya, keluarga yang harmoni akan mewujudkan masyarakat sejahtera yang akhirnya akan melahirkan negara yang aman makmur.


Negara yang makmur wujud jika rakyatnya mematuhi undang-undang. Kerajaan terbina dengan kuasa majoriti rakyat yang mengundi sesebuah parti. 


Jadi, akurlah dengan suara majoriti rakyat.


Alamak.... Aku dah mula melalut.


Usah banyak berpolitik, mari lihat aktiviti BERSIH yang baru dijalankan sebentar tadi.








Daripada duduk bersila di tengah jalan, lebih-lebik baik BERSIHkan rumah. 
Ada gak faedahnya.

::  Rumah Bersih Keluarga Sihat  ::

:: Apaa?? Kelingking Berkait?? ::

Cerita yang akan menyusul ini masih lagi berkisar di sjkt.


Ketika aku sedang duduk di hadapan kelas sambil menanda buku latihan murid, aku didatangi oleh seorang murid. 


Murid itu menunjukkan jari kelingkingnya kepadaku, seperti ini.




Dia melakukan perbuatan itu dengan wajah berkerut yang seakan-akan meminta simpati dariku.


Tanpa membuang masa aku menghulurkan jari kelingkingku,



lalu ku kaitkan dengan jari kelingkingnya seperti gambar di bawah.




Wajahnya semakin berkerut. Tangan kirinya berada tepat pada zip seluarnya sambil meramas sesuatu.


Seorang murid yang duduk berhampiran dengan meja guru, memberitahu:

"Cikgu, dia mahu kincing.."



Aku tersentak, lalu melepaskan jari kelingkingku dari jari kelingkingnya.


Cepat-cepat aku meminta muridku itu pergi ke tandas.


Laaaaa...... baru aku tahu bahawa, isyarat jari kelingking itu tandanya buang air kecil @ kencing.


Aku rasa isyarat jari kelingking ini, hanya diketahui di sjkt sahaja. Agaknyalah......

Moral of the story:

Jangan suka-suka tunjuk isyarat jari, nanti tak pasal-pasal kena kencing.


Hua hua hua.

Mari kita tengok siapa yang kena!!

Perlu Maklumat?

Powered By Blogger