:: KaLiAn ::

Khamis, 5 Januari 2012

:: Majlis Makan Malam Konvensyen Antarabangsa Diaspora Bugis ::

Sejarah terlakar sudah. Majlis makan malam ini merupakan majlis yang julung kali diadakan di Malaysia sempena Konvensyen Antarabangsa Diaspora Bugis: Sejarah, Budaya dan Senibina di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru, anjuran UTM dengan kerjasama Persatuan Bugis Negeri Johor. DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar juga turut mencemar duli. Ia diadakan pada 26 November 2011.

Hanya foto-foto di bawah penerus kata......


Menu
Aturcara Majlis






Makanan masyarakat Bugis juga turut dihidangkan 

Bersama-sama saudara Bugis dari Makasar
Suasana di dalam dewan

Ketibaan DYMM Sultan Johor

Saudara Bugis dari Makasar dan Singapura

DYMM Sultan Johor yang berjiwa rakyat
Tuanku Sultan tetap ramah melayani rakyat

Saudara Bugis dari Makasar yang berpakaian tradisional Bugis

Dari Makasar dan Singapura



:: Beregek Sebelum Ke Sekolah ::



Anak-anakku memang suka beregek. Hahaha... BEREGEK ?  Yaaa BEREGEK.... Bahasa apa pula ni? Sebentar..... Untuk makluman kalian, pertama kali aku mendengar perkataan tersebut sewaktu aku, isteriku dan ibu mertuaku hendak ke pasar. Perkataan tersebut dilontarkan oleh *ibu mertuaku. Ketika itu, isteriku sedang berdiri di hadapan cermin. Mungkin lama menunggu, ibu mertuaku pun memanggil isteriku. "Ngape lame beno beregek? Nanti ikan habih kat  paso..." rungut ibu mertuaku. Itulah kali pertama aku mendengar perkataan tersebut. Di mana? Kampung Petalin Baru, Bidor, Perak. Oooo.... loghat Melayu Perak rupanya.... 


Nah... BEREGEK saja anak-anakku. Foto ini sebelum mereka ke sekolah pada hari pertama sesi persekolahan 2012.


Semoga diterangkan hati untuk menerima  ilmu yang bermanfaat.
Angah yang manis. 
Daing Akid puteraku...
Ulfah sempat menunjukkan makanan suplimennya.

Makanan suplimen wajib makan......

Promosi la pulak......



* Alfatihah untuk arwah ibu mertuaku:: Rindu sangat kenangan lalu :( 
Amin.

Rabu, 4 Januari 2012

:: BerCHICKEN CHOP dI Hutan Bandar, JB ::

Aku selalu mendengar cerita daripada kawan-kawan yang mengatakan bahawa jika mahu menikmati makanan barat seperti chicken chop, fish n chip, grilled chicken chop, grilled beef steak, grilled lamb chop, oblong beef atau oblong chicken maka restoran yang paling sesuai dengan kelazatan makanan serta keberbaloian harga, di sinilah tempat yang paling sesuai:


 Lihatlah betapa ramainya pengunjung. Ada yang sanggup berdiri untuk menunggu kekosongan meja.



 Untuk pengetahuan kalian, chicken chop di sini memang sedap. Sehingga menjilat jari.... slurppp

 Sempat lagi untuk berposing.


:: Cuti-cuti di Melaka Wonderland ::

Ketika duduk bersantai bersama-sama keluarga, terkeluar juga rancangan untuk pergi bercuti. Pada mulanya kami merancang untuk ke Gambang. Oleh kerana hujan yang berpanjangan, juga berita keadaan banjir di Pahang dan tempat-tempat lain, maka rancangan tersebut diubah. Setelah bermesyuarah, Melaka  Wonderland menjadi pilihan.

Tiba sahaja di sana, tempat kereta sudah penuh. Jadi, aku menurunkan keluarga  betul-betul di hadapan pintu masuk taman tema air tersebut.
Aku memarkir keretaku sejauh hampir 1km. Jadi, menapaklah jawabnya. Pengunjung memang ramai pada waktu itu. Maklumlah, 24hb Disember 2011. Tiket masuk untuk kanak-kanak berharga RM25.00 manakala untuk dewasa RM30.00. Kanak-kanak yang ketinggiannya kurang daripada 90cm percuma.

Lihatlah foto di bawah, kafetaria dipenuhi pengunjung. Antara syarat masuk ke dalam taman tema air ini ialah tidak dibenarkan membawa makanan. Jadi, makanan perlu dibeli di kafetaria. Harga makanan? Burger ayam dan daging RM4.00. Nasi ayam RM6.00. Harga makanan lain aku tak ingat... Maaf aaa...
Di bawah ini aku paparkan foto pelbagai permainan yang terdapat di sana.







Sempat juga berposing. Kami merupakan antara pengunjung yang terakhir pulang.... Macam nak tidur di sana jer...



Berapa bintang? Aku beri * * *    ...............  Ok Lah tuuu....

Nak tahu lebih lanjut: https://www.facebook.com/pages/Melaka-Wonderland-Theme-Park-Resort/300814619074

:: Putera dan puteriku Anak Gayong ::

Bangga. Itulah perasaanku terhadap pencapaian ilmu persilatan putera dan puteri yang aku cintai. Tanggal 28 - 30 Oktober 2011 merupakan tarikh bersejarah buat mereka. Dengan berkat usaha dan latihan yang konsisten, mereka telah membuktikan bahawa mereka layak untuk menerima Bengkung Awan Putih.

Aku sebenarnya tidak mengerti mengapa mereka sangat berminat dalam seni persilatan ini. Mungkin kerana darah kepahlawanan telah mengalir laju ke dalam tubuh mereka. Walau apa pun, tahniah buat mereka. Bukan mudah untuk mencapai kejayaan seperti ini.

Pesanan buat putera dan puteriku: Langkah pertama ini akan membawa kalian melangkah dengan gagah pada masa hadapan. Ingat, perjuangan kalian masih panjang. Masih banyak lagi bengkung yang perlu digenggam.

Terima kasih kepada jurulatih-jurulatih yang gigih mengajar Anak-anak Gayong Taman Sri Saujana, Kota Tinggi, Johor. Tanpa kalian, seni persilatan Melayu ini akan pupus. Kredit buat:




Wajah-wajah Anak Gayong

Kalian adalah pewaris bangsa. 

Selasa, 3 Januari 2012

:: Kak Yong pulang ke asrama ::

Pagi tadi, kami menghantar puteri sulung kami pulang ke asrama. Pada mulanya, kami berbincang sama ada puteri kami masih perlu tinggal di asrama atau tidak.

Untuk makluman, asrama tersebut bukanlah asrama penuh yang hebat. Asrama yang biasa-biasa sahaja. Asrama harian. Jarak dari rumah ke sekolah pula tidaklah terlalu jauh iaitu cuma 11km sahaja. Namun, memandangkan puteri kami akan menduduki PMR pada tahun ini dan setelah memikirkan keadaan puteri kami seandainya berulang dari rumah ke sekolah mungkin menyebabkan masa dan tenaga terbuang begitu sahaja, maka tinggal di asrama adalah pilihan yang terbaik.

Ketika tiba di asrama, aku menurunkan beg dan barang keperluannya. Sempat juga aku berseloroh ketika puteri kesayanganku itu menarik beg besar beroda. "Hai, kakak macam tersingkir keluar dari AF aja..." selorohku. Dia hanya tersenyum lalu menjuihkan hujung bibirnya. Dia nampak manis sekali ketika itu.

Aku amat bersyukur kepada Allah kerana mengurniakan kami puteri yang rupawan. Sebenarnya, aku hanya berusaha untuk menenangkan perasaanku. Walaupun puteriku sudah masuk tahun kedua tinggal di asrama, namun aku masih khuatir tentang keadaannya nanti.

Ketika kami hendak pulang, puteriku bersalam denganku. Aku terus memeluknya dan sempat ku titipkan pesanan agar menjaga diri dan berhati-hati memilih kawan. Aku mencium kedua belah pipinya dan mengucup dahinya. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaanku ketika itu.

Isteriku? Lagilah sensitif. Terlihat sebutir mutiara seakan mahu gugur dari sudut kelopak matanya. Ahhh.... syahdu dan pilu....
Doakan kebahagiaan kami....... Aku sayang keluargaku..........

:: Maka, anak-anak akan mula bersekolah (2012) ::

Seronok melihat anak-anakku memperagakan pakaian sekolah mereka yang baru. Bayangkan jika empat orang anak yang bersekolah. Sungguh meriah.

Kami menyediakan dua pasang pakaian seragam sekolah untuk empat orang anak. Maknanya, masing-masing mendapat dua pasang. Ha, itu baru pakaian seragam untuk sekolah rendah dan menengah. Belum lagi pakaian seragam untuk sekolah agama.

Alhamdulillah, kami dapat menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak.
Tahun ini, puteri sulung kami akan menduduki PMR. Doakanlah agar Kak Yong kami akan mendapat kejayaan yang cemerlang. Pesanan untuk Kak Yong Maryam, buatlah yang terbaik. Doa Etta dan Mama akan sentiasa mengiringimu. Insyaallah.

Puteri kedua kami pula di tingkatan dua. Puteri ketiga kami darjah empat. Putera kami iaitu Daing Akid pula darjah tiga.

Selepas ini, anak-anak akan menjalani rutin harian seperti biasa pada waktu persekolahan. Pagi ke sekolah rendah / menengah, petang ke sekolah agama. Malam pula mengaji Al-Qur'an dan membuat kerja sekolah.

Pada minggu pertama ini mesti mereka penat. Kasihan. Apakan daya, itulah rutin harian yang terpaksa mereka lakukan.

Buat anak-anakku, teruskanlah perjuangan kalian. Semoga usaha kalian akan mendapat keberkatan daripada Allah Ta'ala. Amin.


Khamis, 24 November 2011

Sabtu, 14 November 2009

:: Tidur Sambil Tersenyum ::

Gambar ini lah yang paling aku gemari.. Ketika aku mahu merakam gambar puteriku ini, dia sedang tidur. Ketika aku memetik butang, tiba-tiba aje puteriku ini boleh tersenyum pulak. Tidur makin lena... laa...macam ni pun ada ke..
Kalau ada masalah, bosan dan sebagainya aku akan tatap gambar ini. Macam hilang segala masalah.. Iye ker?

Selasa, 10 November 2009

Tidurlah puteriku..

Sibuknya...

Assalamualaikum.. Lama dah tak mengemaskini blog ni.. Saya rasa dah hampir setahun. Apakan daya.. terlalu sibuk dengan tugas. Walau apa pun.. itulah yang dinamakan guru. Tanpa kesibukan bukanlah guru namanya. Selepas peperiksaan UPSR iaitu pada bulan September tempoh hari, barulah lega. Biasalah guru tahun 6, kalau boleh nak duduk sekolah aja. Risau pulak dengan keputusan pelajar-pelajar kesayangan yang keputusannya akan diumumkan mungkin pada 18 November ini. Sebagai seorang guru, saya pulak yang berdebar-debar menunggu detik itu. Semoga anak didikku akan berjaya dalam UPSR.

Perlu Maklumat?

Powered By Blogger